Monday, 27 June 2011

Cahaya Hidayah - Syukran Tn. Syihabudin Ahmad

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiIebtXpElmrzpPj15TyKYvlEP1QQWIMiiQPS5a24ZeJ7RQlQsdhvRoILW6U_htLi93Sh9-fhgewqDsVzLmxpO51R5wuhZ03vTiB3raZGSdph16ez_OwbK7MHgHIkV5ifsRvrETUKrvLWSi/s400/taubat_tasbih.jpg





Blog Nikmat Amal amat teruja dengan nukilan tn Syihabudin Ahmad dan begitu komprehensif kupasannya hingga terkesan di hati saya.. Sama2 kita renungkan dan hayati : 
Hidayah adalah petunjuk ke jalan yang benar. Barang siapa yang dikurniakan hidayah sehingga akhir hayatnya, mereka akan menikmati syurga yang indah dan kekal untuk selama-lamanya.
Bagi mereka yang berhajat untuk sentiasa berada dalam kurniaan hidayah, mreka perlulah:
1.       Sentiasa memohon doa kepada Allah supaya dikurniakan hidayah.
2.       Sentiasa menghayati Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
3.       Mengetahui penyebab penerimaan hidayah dan keadaan serta jalan mendapatkannya.
HIKAYAT HIDAYAH
Seorang lelaki mahu mencari sebuah pulau yang indah, aman dan sentosa. Supaya beliau dapat hidup dengan bahagia bersama insan-insan tercinta di sekelilingnya. Lalu beliau mendapatkan sebuah kapal yang teguh untuk belayar ke suatu tempat yang tidak ber alamat. Beliau memulakan perjalanan dengan membawa segala bekalan yang dirasakannya perlu. Dibawanya makanan, minuman, wang, peta, kompas dan segalanya.
Setelah belayar agak jauh dari tempat asalnya, beliau telah hilang punca dan idea. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, beliau bertanya para nelayan yang dijumpainya tika pelayaran. Terlalu ramai nelayan yang dijumpainya. Ada diantara mereka menunjukkan arah yang betul, dan tak kurang pula yang memberi arah yang menyimpang. Namun, ketuguhannya untuk mencari pulau tersebut amat kuat dan jitu. Dia teruskan perjuangan sehinggalah bekalannya habis dan tiada lagi sisa-sisa kewangan yang tinggal padanya.
Kapalnya terapung di tengah-tengah lautan. Lalu dia mula memikirkan kembali tujuan hidupnya, menghayati semula matlamat perjuangannya. Dengan itu, beliau tekad untuk berhenti mencari seorang penunjuk arah yang berkemampuan menghantarnya ke tempat tujuannya.
Beliau memandu kapalnya ke sebuah pulau berdekatan, dan berlabuh berhampiran Jeti di sebuah kampung. Kampung yang indah dan menyamankan, kanak-kanak kecil kelihatan bermain-main. Si tua sibuk membaiki pukat sambil ditemani isteri  mereka yang setia.. Penghuni kampung tersebut tidak lekang senyum dan wajah riang dengan ketibaannya. Mereka menyambutnya dengan mesra, walau tidak pernah bersua.. lalu beliau mula berfikir.. dimanakah aku?? Adakah aku telah sampai ke tempat yang aku idamkan??
  
HAKIKAT HIDAYAH
Demikianlah jua kehidupan seorang insan. Hidup dalam muka bumi ini bagi mencari jalan mendapatkan Redha Ilahi supaya ditempatkan di Syurga Firdausi. Namun, pelbagai rintangan dan dugaan perlu direntasi untuk ke sana. Bahkan, tidak semua manusia yang berharap untuk mendapatkan Firdausi berjaya memilikinya. Ianya memerlukan hidayah, keperluan asas seorang muslim. Hidayah yang menembus jantung hati, mewarnai sanubari, menenangkan setiap pandangan yang melihat.
Tanpa hidayah, perjalanan menuju ke Firdausi hanyalah angan-angan kosong, seperti rumah tidak berpenghuni. Oleh itu, keringat perlu dikerah bagi memperolehi kurniaan hidayah.
Persoalannya, bagaimanakah mahu mendapatkannya??

HIDAYAH MILIK ALLAH
Setiap perkara yang kita usahakan adalah penyebab kepada pengurniaan sesuatu hajat. Contohnya, seorang pelajar belajar besungguh-sungguh bagi menghajati keputusan yang cemerlang. Namun, kadang kala beliau berjaya mendapatkannya, dan terkadang pula tidak. Mengapa? Kerana segala keputusan (natijah) adalah milik Allah. Kita selaku manusia, hanya berusaha bersungguh-sungguh kerana ianya penyebab kepada pengurniaan daripada Allah s.w.t.
Begitu jugalah hidayah. Ianya milik mutlak Allah s.w.t. Allah berhak memberikan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendakinya. Demikianlah apa yang Dia lakukan kepada keteguhan Abu Bakar r.a., pengislaman Umar al-Khattab r.a. ,Ketekadan Bilal r.a.  serta Keingkaran Abu Thalib dan Abu Jahal.
Allah berfirman :
Sesungguhnya, bukanlah engkau yang memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allahlah yang memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki.
[Al-Qasas:56]

PENYEBAB KURNIAAN HIDAYAH
1-      Keteguhan iman
Iman itu amat ajaib dan menakjubkan. Ramai orang mempunyai penglihatan, tetapi tidak dapat melihat cahaya kebenaran di hadapan mereka. Ramai juga yang mempunyai akal, tetapi tidak mampu berfikir dengan matang. Tetapi, sesiapa yang mempunyai iman yang teguh kepada Allah, nescaya akan dapat melihat cahaya hidayah dengan terang benderang. Lihat sahaja mukmin di Negara barat, mereka ditindas seolah peristiwa tekanan terhadap Rasulullah dan sahabat berulang kembali, tetapi keteguhan iman menjadi jalan penerus hidayah. Lihat pula orang islam di Negara Arab! Hilang arah dan hala tuju! Seolah mereka pewaris kepada Abi Lahab dan Umaiyyah bin Khalaf!
Iman penyuluh hidayah! Allah berfirman :
Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam syurga yang penuh nikmat.
[Yunus:9]
2-      Kesungguhan
Seorang pemain gitar dari sebuah kumpulan rock terkenal di Malaysia, hidup dalam gelombang yang tidak membantu kepada terbit cahaya Islam, namun kesungguhannya mencari hidayah berjaya menolak segala kemustahilan. Walaupun di hujani pelbagai rintangan dan cabaran, akhirnya membuahkan hasil hidayah dalam jiwanya. Gerak langkah tekad dan pasti menjadi tarian dalam kehidupannya mencari hidayah. Alhamdulillah, kini beliau amat tenang dalam cahaya hidayah itu. Bahkan, dalam jantung hatinya bertekad untuk mengajak lebih ramai lagi rakan artis agar bersamanya. Inilah kebenaran firman Allah dalam ayat terakhir surah al-Ankabut:
Sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami (Allah), Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
[Al-Ankabut:69]

penghayatan

Cuba kita renungi sebaris ayat dalam Al-Quran, Allah menyebut:
Siapa yang beriman dengan Allah, dia akan diberi hidayah kepada jantung hatinya
[At-Taghabun:11]
Mengapa Allah sebutkan kalimah jantung hati? Kenapa tidak mata? Telinga? Atau panca indera yang lain?
Mata boleh melihat, tetapi ia mungkin hilang apabila ditimpa sebarang musibah. Telinga boleh mendengar , tetapi akan hilang bila tidak mampu lagi berfungsi. Tetapi, hati seperti matahari. Menerangi kesempitan pemikiran dan kegelapan kemaksiatan.
Ibnu Abbas berkata: “Ayat ini ditujukan kepada seorang hamba yang ditimpa musibah lalu diterima dengan terbuka dan redha. Dan dia mengetahui bahawa musibah ini adalah dari Allah, begitulah Allah memberi hidayah kepada hatinya.”
Tuntasnya, marilah kita mencari hidayah dan sentiasa berusaha mendapatkannya serta menggengamnya dengan teguh dan utuh. Hidayah bertambah dan berkurang [Muhammad : 17] , oleh itu.. doa sangat perlu!!
Wallahu Alam.

No comments:

Post a Comment