Sunday, 3 July 2011

pengorbanan pada rabbul Izzati

http://img.photobucket.com/albums/v388/ureh/sky.jpg

 


Sebuah Pengorbanan

Blog nikmat amal kali ini ingin berkongsi berhubung dengan erti sebuah pengorbanan.. Bukan mengambil kira idul adha sahaja tetapi merenung pengorbanan secara umum melalui perspektif Islam dengan mengambil kira sedikit sebanyak kisah Nabi Allah Ibrahim sebagai model pengorbanan yang dilakukannya.
Marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur kepada Allah Taala kerana dengan rahmat dan kasih sayangnya, kita diberikan peluang oleh Allah Taala untuk terus menikmati udara tanpa sebarang bayaran. 

Lafaz talbiah yang diucapkan oleh para tetamu Allah di bumi Makkah samada menunaikan Haji atau Umrah merupakan satu ikrar yang mengandungi janji setia seorang hamba terhadap Khaliqnya untuk menjadi seorang yang akan taat, tunduk dan patuh tanpa berbelah bagi , tanpa ada di sana unsur syirik yang menduakan Allah dalam segala segi. yang pastinya membuahkan kekerdilan jiwa seorang insan di hadapan keagungan tuhan.

Nabi Musa Kalimullah yang satu ketika dahulu berada dalam keadaan tersepit antara lautan yang terbentang di hadapan dan Firaun yang mengejar di belakang. Tiada daya seorang manusia untuk menyelamatkan diri ketika itu melainkan hanya menyerahkan sepenuh pengharapan kepada Allah , lantas Allah membantu kekasihNya dengan menghancurkan si taghut yang bongkak menyatakan "Aku lah Tuhanmu Yang Maha Tinggi " dengan menenggelamkan seluruh bala tentera Firaun laknatullahi alaih.. Sila rujuk blog saya berhubung firaun dan simulasi terbukanya laut merah..

Utusan terakhir, Rasulullah kekasih hati ketika dalam suasana yang sangat menyesakkan nafas mukmin dan muslim yang diasak oleh paduan kekuatan kuffar dalam peperangan Khandak, tiada daya dan usaha seorang manusia yang boleh melepaskan kaum muslimin ketika itu yang keadaan mereka umpama telur di hujung tanduk namun Allah lah yang telah menghancur dan melenyapkan kekuatan musuh dengan memberikan kemenangan kepada golongan mukmin yang tabah berada di bawah panji-panji Islam yang dikibarkan oleh baginda rasul SAW.

Maha Suci Allah yang sangat gagah menghancurkan tipu daya musuh. Maha Suci Allah yang sangat gagah dalam memberikan kemenangan kepada hambaNya yang beriman.

Itulah hakikat kebesaran Allah dalam memporak-perandakan setiap perancangan jahat golongan yang ingin memastikan penganut agama Allah mampu untuk dibunuh dan diperkotak-katikkan namun seakan musuh Allah lupa bahawa cahaya Allah akan terus menjuarai setiap pertempuran walau sehebat manapun perancangan seorang yang bernama manusia.

'Mereka mahu memadam cahaya agama Allah dengan mulut - mulut mereka , tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya agamanya .'

Generasi penggerak kebangkitan Islam

Antara persoalan yang harus kita tanya, adakah kita benar-benar meletakkan ketaatan kepada Allah melebihi segala-galanya? Adakah benar kita telah menjadi seorang yang mempraktikkan ikrar setia harian kita dan ia benar-benar terlaksana?

Kita sedih dengan apa yang menimpa generasi Muslim yang kian parah jati dirinya. Akhlak yang merudum, keperibadian yang kian bernanah memburukkan lagi usaha untuk mencari redha Allah.

Budaya ikhtilat ( pergaulan bebas ) yang menyemarakkan api nafsu di kalangan muda mudi yang sunyi daripada syariat Islam semakin menjadi-jadi. Sang jejaka sudah tidak segan silu untuk menodai sang gadis demi cinta kononnya . Kemudahan teknologi dan tamadun moden yang ada , digunakan bagi memohon murka dan kebencian Allah.

Budaya untuk mengimarahkan rumah Allah semakin dipinggirkan. Rumah Allah sepi tanpa dihiasi dengan solat berjemaah tanda kepatuhan kepada Allah , seakan-akan tidur dan dunia lebih besar daripada menyahut panggilan Allah.

Apakah ini tanda bahawa ruh pengorbanan nabi Ibrahim sekeluarga sudah mampu untuk kita realisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari? Adakah ini model terbaik kepada satu peribadi yang bakal menjadi galang ganti kepada perjuangan para nabi? Nabi SAW menyatakan:

'Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan bakal menimpa kamu tetapi aku aku takut seandainya kamu akan dibentangkan dunia di hadapanmu lantas kamu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sebagaimana umat sebelummu berusaha untuk mendapatkan dunia lantas dunia menghancurkan kamu sebagaimana dunia telah menghancurkan umat sebelum kamu.'

Sudah sampai masanya kita kembali menyatakan ketaatan kita kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang semakin membarah di kalangan kita agar Allah memberikan peluang kepada kita untuk dipilih menjadi penggerak ummah bertuah ini.Allah berfirman:

'Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).'

Ibadah korban yang disyariatkan pada hari raya Idul Adha ini merupakan simbolik kepada memperingati pengorbanan yang luar biasa yang dipersembahkan oleh Nabi Allah Ibrahim sekeluarga. Korban di sisi Islam dilaksanakan semata-mata mengharap redha Allah Taala berbeza dengan korban yang dilaksanakan oleh masyarakat jahiliyyah yang dipersembahkan kepada Al-Latta dan Al-Uzza.

Allah tidak menginginkan darah serta daging binatang yang disembelih namun keikhlasan yang lahir daripada hambaNya akan menganugerahkan penerimaan ibadah tersebut. 
Menifestasi pengorbanan ini perlu diserapkan untuk mendarah daging dalam setiap jiwa umat Islam.

Namun, seandainya kita meneliti realiti keadaan umat Islam hari ini, kita akan dapati betapa jauhnya mereka dengan nilai pengorbanan yang meletakkan kemahuan Allah itu di puncaknya. Umat Islam sangat parah dengan pelbagai penyakit yang membawa kepada kejauhan daripada kasih sayang Allah.

Mereka dihinggapi dengan penyakit krisis keyakinan terhadap kemampuan Islam sebagai jawapan dalam semua permasalahan. Betapa ramai di kalangan umat Islam yang tidak mahu berjuang untuk meletakkan Islam kembali dijulang. Islam dianggap sebagai upacara keagamaan semata-mata. Islam dianggap bukan penyelesaian kepada masalah kenegaraan, politik, ekonomi, sosial dan undang-undang.

Teori ortodok memisahkan agama daripada kehidupan masih dianuti. Mereka cuba untuk meracuni jiwa muslim agar beriman dengan kata-kata yang menjadi asas teori sekularisme:


Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan serahkan urusan Allah kepada Allah


Ulamak dipersenda. Kata-katanya dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Budaya hiburan tanpa batasan Islam semakin menular di dalam jiwa muda-mudi Islam. Ulama bisu cuba untuk memesongkan agama Allah semata-mata kerana sekelumit habuan dunia . Agama Allah cuba untuk dicabuli.

Undang-undang Allah dianggap sebagai undang-undang rimba yang hanya membawa negara kepada kemunduran. Murtad semakin menjadi-jadi. Zina seperti perkara biasa.

Demi tuhan Kaabah ! Allah sama sekali tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam selagi mana ummat ini tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Allah akan terus menjadikan umat ini hina di sisi musuh selagi mana mereka masih lagi betah untuk mengabdikan kehidupan mereka dengan sistem jahiliyyah moden rekaan tangan-tangan manusia yang dicipta tanpa mengambil peduli kehendak Allah Rabbul Alamin.


'Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.'

Kata pujangga:


· apabila iman sudah lenyap maka tiada lagi erti keamanan,
· dan sesungguhnya tiada erti kehidupan dunia bagi orang yang tidak mendirikan agama,
· sesungguhnya orang yang redha menjadikan kehidupan dunianya sunyi daripada agama,
· dia telah menjadikan kehancuran itu sebagai teman karibnya.


Sesungguhnya kita ini merupakan satu umat yang dimuliakan oleh Allah semata-mata kerana Islam. Apabila kita cuba untuk mencari kemulian selain daripada Islam maka yakinlah bahawa kita akan dihina oleh Allah Taala.

Wahai hamba Allah ! Wahai insan yang mengakui kebesaran dan keagungan Allah. Adakah kamu mengambil segala apa yang berlaku ini sebagai satu tarbiah dan tazkirah buat diri kamu? Adakah kamu masih lagi berasa aman daripada kemurkaan Allah?

Adakah kamu tidak memikirkan langsung walau sejenak bahawa Allah mampu untuk menghancurkan kamu dan insan sekelilingmu , lantaran maksiat dan perderhakaan yang kamu persembahkan kepada Rabbul Alamin? Apakah kamu masih menyangka bahawa azab yang pedih daripada Allah yang pernah ditimpakan kepada umat sebelummu seakan-akan satu dongengan yang tidak akan sama sekali menimpamu?

Insafilah duhai sahabat yang bakal menjadi pewaris perjuangan para nabi dan rasul agar kita benar-benar berusaha untuk menjadi hamba Allah yang berusaha untuk membentuk syakhsiah yang terpuji. Pasakkan kembali ruh pengorbanan Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar di sanubari kita.

Berusahalah untuk kalian meraih cinta abadi daripada Rabbul Izzati dengan usaha gigih meninggalkan segala sifat cela yang hanya akan mengundang benci dan murka dariNya.

Wahai hamba Allah yang beriman kepada aqidah Islam yang Maha Suci. Marilah kita sama-sama memikirkan nasib umat Islam yang semakin hari semakin tenat dibunuh, ditindas dan dianiaya tanpa sebarang dosa.

Allah taala mampu untuk memberikan kemenangan kepada umat Islam apabila umat bertuah ini sudah sedar dan mahu kembali menyandang amanah jihad bagi memastikan kitab Allah dan sunnah RasulNya kembali menjuarai sistem kehidupan sejagat.
wahai generasi muda islam..bangkit lah...berusaha lah untuk meraih cinta daripada Rabbul Izzati...
wallahu'alam...
zakieusof

No comments:

Post a Comment