Bersyukur adalah sifat mahmudah yang dimiliki oleh orang mukmin. Sungguh banyak nikmat dan rezeki yang kita perolehi daripada Allah S.W.T. samaada kita sedari atau pun tidak.
Sudahkan kita bersyukur hari ini? Berapa kali kita bersyukur hari ini? Apa yang kita syukuri? Kepada siapa kita bersyukur? dan banyak lagi pertanyaan-pertanyaan lain di dalam hati mengenai syukur.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberikan pernyataan; ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Ku-tambah nikmat-Ku kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim ayat 7).
Syukur sesuatu yang mudah untuk di katakan, mudah untuk dijelaskan, tetapi tidak mudah untuk dilakukan seperti mana amalan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ apabila tanda kita bersyukur dengan memuji kebesaran Allah S.W.T. kerana sedar atau tidak hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah S.W.T.
Nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah an-Nahl ayat 18)
Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut oleh Tuhan kembali).
Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat. Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.
Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang. Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan rasa bersalah olehnya bagaimana besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya itu.
Oleh itu peliharalah setiap nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya.
Syukur dapat diertikan bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik yang lahir mahu pun yang batin, semuanya daripada Allah S.W.T. sebagai pemberian daripada-Nya.
Jika kita terima pemberian atau bantuan daripada sahabat kita, ketika kita berhajat kepada bantuan, maka bersyukurlah kepada Allah S.W.T. yang membuka pintu hati sahabat kita untuk menyampaikan bantuan tersebut dan berterima kasihlah kepadanya kerana betapa mulia dan baik hatinya yang sanggup berkorban. Iringilah doa kepada Allah S.W.T. supaya sahabat kita itu sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Kerana salah satu doa yang dimakbulkan Allah S.W.T. adalah doa sahabat kepada sahabatnya yang berjauhan.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah S.W.T.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah S.W.T.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab.” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
“Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab.” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.
Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud : “Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya.” – (Surah an-Nahl ayat 144)
Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.
Oleh itu marilah kita jadikan sifat syukur ini amalan hidup kita setiap hari, basahkan lidah kita dengan memuji kebesaran Allah dengan perbanyakkan menyebut “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah) kerana Nabi Daud dan Nabi Sulaiman sentiasa memuji Allah S.W.T. , firman-Nya yang bermaksud : “Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Daud dan Sulaiman dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: ‘Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”.(Surah an-Naml ayat 15)
Kita tidak akan mampu menghitung nikmat Allah, syukurilah apa yang kita miliki, syukurilah apa sahaja rezeki daripada Allah S.W.T. samaada sikit atau banyak. Mensyukuri apa yang kita perolehi walaupun hanya sedikit akan lebih baik daripada berlimpah tapi tidak bersyukur. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sebagai insan yang pandai bersyukur. .. amin..hayati dan istiqamah
Alhamdulillah
zakieusof - syukran kepada pembaca2 blog
No comments:
Post a Comment